“ Wahai Tuhanku! Ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur dengan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku. Ilhamkan daku juga supaya tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai. Dan masukkan daku dengan rahmatMu ke dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”

Monday, December 20, 2010

Warkah Buatmu Nurul...

Assalam.
Bismillah..
Hari ini saya berasa 'kelakar' dengan diri sendiri. Semenjak dua menjak kebelakangan ini, saya seolah-olah sengaja mencipta duka dan rasa sedih dalam diri sendiri. Normalnya, saya seorang yg suka senyum. Namun sejak peristiwa itu, saya terasa seperti sangat sukar untuk mengukir senyuman. Ah. Bila sendirian,saya suka mengelamun, atau bercakap sendirian. Dan 'penyakit' itu selalu saja hadir, bila jiwa dan mental saya dalam keresahan. Ya. Saya sakit.

Syukur pada Allah kerana akhirnya Dia membuka mata saya, membuka pintu hati saya, menyedarkan saya, bahawasanya, hidup ini tidak selalunya indah. Dalam dunia ini, mustahil semua orang gembira dengan kehadiran kita. Mustahil semuanya serupa, menghargai kita seadanya. Namun begitu, itu sepatutnya tidak menjadi alasan kepada diri ini untuk tidak mensyukuri segala anugerah dan pemberian-Nya. Sakit juga anugerah. Musibah juga pemberian dari-Nya. Jangan hanya bersyukur bila senang dan bahagia, tapi juga bersyukur bila diri ditimpa ujian. Alhamdulillah.

Jangan kerana sedikit luka kita membinasakan diri kita. Jangan kerana secubit sakit kita memusnahkan diri sendiri. Bermuram dan bersedih tidak akan membawa kita ke mana-mana. Malahan ia hanya mampu merosakkan diri. Memenatkan dan merugikan. Tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.

Sepatutnya, saya haruslah sentiasa berlapang dada dan berfikiran positif. Saya tidak hidup kerana pujian dan tidak mungkin akan mati kerana kejian. Biarlah apa kata orang, asalkan kita tetap teguh dan yakin dengan apa yang kita laksanakan, tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, biarlah ribut taufan melanda sekalipun, semuanya akan mampu saya redah, walaupun seorang diri.

Bersangka baik itu baik, bersangka buruk itu buruk. Pesanan itu masih terngiang-ngiang sewaktu saya berchatting dgn salah seorang teman.Ingat Nurul, jangan lupa!

Jika selama ini lautan duka telah saya redahi, berkali-kali jatuh saya tetap kembali bangun. Mengapa kini saya perlu menjadi lemah? Apakah wajar saya hari ini lebih buruk dari hari semalam? Bukankah saya berhati waja? Tidak mudah menyerah diri pada cubaan mendatang? Teruslah bertabah. Jangan mengalah.

Positif. Pujuklah diri sendiri, jika bukan kita, siapa lagi mampu? Hanya kita yang lebih memahami diri kita sendiri, selain daripada Allah. Hanya kita yang tahu kelebihan dan kekurangan diri, sisi gelap dan sisi cerah jiwa kita, oleh itu, berhentilah bergantung dan berharap kepada orang lain. Berdirilah di atas kaki sendiri. Berdikari.

Jika seorang membenci, ingatlah, ramai lagi yang mengasihi. Walau ibu telah tiada, namun saya punya seorang ayah yang sangat memahami juga hatinya baik. Punya adik-adik yang sangat comel dan sentiasa mengalu-alukan kehadiran saya.Saya punyai teman-teman yang selalu bersama sejak sepuluh tahun yang lalu. Sangat memahami diri ini. Saya punyai sahabat-sahabat, yang saya kenali melalui alam maya,facebook, blog dan sebagainya. Yang paling utama, saya punya Allah yang sentiasa ada bersama saya. Terima kasih untuk segalanya.

Saya punya banyak alasan untuk berbahagia. Untuk tersenyum dan ketawa. Dan saya percaya, kita sebenarnya sama. Walau terkdang perasaan bahagia itu tak perlu diluahkan, hanya terselit dijiwa..biarkanlah... Allah mengetahui segala-galanya.. Saya pasti kalian juga punya banyak alasan untuk berasa bahagia.
Pesanan ini buat diri sendiri;

Duhai NURUL HIDAYAH..

Ingatlah Allah sentiasa. Mengadu dan bermohonlah hanya kepada Dia. Dia tidak pernah tidur, tidak pernah lalai. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.  
Nurul, jaga diri baik-baik. Tiada siapa pun yang akan mampu memusnahkan engkau, melainkan engkau sendiri yang mengizinkannya dengan izin Allah. Kau ibarat sehelai kertas putih, yang begitu mudah untuk dikotori. Kau ibarat sehelai kertas nipis, yang mudah terkoyak. Kau ibarat kertas yang lemah, namun mampu melukakan. Kau ibarat kertas kosong, terserah kepadamu bagaimana mahu mencorakkan dirimu sendiri.

Duhai Nurul..

Ingatlah, Ibumu sudah tiada. Ayahmu udah dimamah usia. Kau juga tiada suami. Abang-abangmu tiada di sisi. Adik-adik lelakimu pula masih terkapai-kapai mencari diri. Tiada siapa yang dapat membelamu di dunia ini. Maka, lengkapkan dirimu dengan iman dan ilmu. Agar diri kau terbela. Terpelihara. Di dunia dan akhirat.

Jangan jadi lemah, kerana kau bukan dilahirkan semata-mata untuk menangisi hidupmu. Kau harus tabah. Kau harus teguh. Kalau kau jatuh, bangunlah. Kalau kau menangis, kau kesatlah airmatamu. Jangan menunggu tangan-tangan lain menarikmu ke atas. Usah tunggu tangan-tangan lain menyapu airmatamu. Ingat, biarpun seorang diri, hidupmu harus kau teruskan.

Teruskanlah langkahmu. Mara kehadapan. Jangan toleh ke belakang, andai itu hanya mampu menambah luka. Allah sentiasa ada bersama mu. Sunnah nabi dan sabdanya sempurna untuk kau jadikan teladan. Jadikanlah Al-Quran sebagai temanmu.

Kau istimewa. Bukan kerana kau cantik. Bukan kerana kau kaya. Bukan kerana kau bijaksana. Tapi kerana keinginanmu mencari redha Allah.

Nurul Hidayah...., 
Hargailah dirimu sendiri. Berjuanglah. Senyumlah. 
Kadang2 langkah kaki terasa penat, but dont worry, insyaAllah everything gonna be okay.....

"Maybe you have someone that love you, but Allah loves you most.. So let us love Allah.."

Allah sayang aku, kamu, kami dan kalian semua.. Insyaallah.. :)


Dengan lafaz bismillah, saya mengundur diri. Ingatkan saya andai saya lupa, perbetulkan saya andai saya silap. Teguhkanlah saya andai saya lemah, pimpinlah saya andai saya terjatuh Terangilah saya andai saya kegelapan, tunjukilah saya andai saya kesesatan. Ayuh! Berjalanlah bersama-sama saya, jangan di belakang atau di hadapan. Saya tak mungkin selamanya mengekori dan tak mungkin selamanya memimpin. Kerana saya insan yang lemah, yang tidak mungkin mampu berdiri seorang diri.

Ya Allah, sesungguhnya aku sedang memujuk diri.. Berikanlah aku kekuatan. Amin Ya Rabb..

    2 comments:

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...